Saturday, 11 June 2011

Apam Mentega Gula Hangus

Saya mendapat inspirasi membuat apam ini melalui Fiza, seorang sahabat yang saya kenali di Wad Paedatrik, Hospital Sg Buloh. Kami sama-sama merasa membesarkan amanah yang amat istimewa. Walau pun tidak sama kondisi, namun saya berasa teramat rapat dengannya. Manakan tidak, ketika kami baru saling mengenali, saya pernah menjenguk-jenguk anaknya, Sofie, yang ketika itu ditinggalkan sebentar untuk dia bersolat Asar.

Dan tanpa diduga, suaminya dan suami saya bersekolah di satu sekolah yang sama ketika sekolah menengah. Mereka saling mengenali. Berkongsi kisah hidup yang seakan serupa, malah kini berkongsi pula minat yang sama, bukankah ia tanda jodoh panjang? InsyaAllah.

Berbalik kepada resepi kali ini, saya baru saja mencubanya malam tadi. Apam gula hangus ni adalah salah satu menu pilihan saya ketika bulan puasa. Resepi yang saya akan kongsikan ini ada sedikit kelainan pada rasanya ~ lebih lemak & lembut. Adakalanya terasa seperti memakan kek kukus. Mungkin kerana kandungan susu yang terdapat di dalamnya.

Resepi Apam Mentega Gula Hangus

Bahan-bahan untuk gula hangus:

1 cawan gula pasir
1/2 cawan air
125 gm mentega

Bahan-bahan untuk apam:

1/2 cawan gula pasir (seeloknya dikisar terlebih dahulu)
2 biji telur
1/2 sudu teh esen vanilla
*1 1/2 cawan tepung gandum
*1/2 sudu teh soda bikarbonat (*diayak bersama)
200 ml susu cair

Cara-cara:

1. Cara membuat gula hangus: Masukkan gula dalam periuk, masak dengan api perlahan hingga gula larut dan berwarna perang. Padamkan api, dan masukkan air. Nyalakan api semula dan kacau sehingga semuanya larut. Masukkan mentega, kacau rata dan ketepikan.


2. Pukul gula, telur dan esen vanilla sehingga kembang dan masukkan gula hangus yang masih panas tadi. Terus memutar tanpa henti.

3. Kemudian, masukkan susu sambil diselang-selikan dengan tepung. Gaul sehingga sebati.

4. Panaskan pengukus dan acuan kuih/kertas cawan. Tuangkan adunan ke dalam acuan. Boleh dituang penuh kerana bila ia masak adunan tidak akan melimpah.

5. Kukus apam ini selama 10-15 minit atau sehingga masak. Setelah masak, sejukkan seketika dan sedia untuk dihidangkan.



8 comments:

Sheila Shafeareen said... Reply to comment

Salam
suka kat apam ni lama dah cari resepi...mmg npk gebus...tq shering ye

Sue Aleen said... Reply to comment

Sheila:
Gebu & rasa lemak. Macam kek pun ada. Thanks sebab sudi singgah dan follow.

Naimatul Hafizah Nor Rodin said... Reply to comment

alahai kak,
terharu sgt, cerita ttg perkenalan kita. rasa nak mengalir air mata....

Sue Aleen said... Reply to comment

Fiza:
Adakalanya bila sendirian memang selalu terkenang masa di hospital. Jumpa Fiza, Selvi, dll. Ia mengingatkan kita pada siapa kita sebenarnya.

izahdaut said... Reply to comment

Salampekernalan.. Anak2 suke apam macam ni. Bile2 boleh try ni. Tq share

Sue Aleen said... Reply to comment

@izahdaut

Salam kenal juga. Thanks sebab singgah sini. Anak saya yang tak berapa suka apam ni pun ari tu nak makan. Makan panas-panas ni memang sedap.

Mieza said... Reply to comment

salam kenal sue..mieza follow..dah cuba resepi ni..sedap! jemput tgk kat blog mieza :)

Sue Aleen said... Reply to comment

@Mieza
Wsalam. Selamat berkenalan juga. Memang sedapkan. Somehow rasa macam kek kukus pun ada.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...