Monday 1 August 2011

Pulut Sekaya Asli & Durian


Selain daripada nama pulut sekaya, kuih ini juga dikenali sebagai kuih seri muka atau kuih putri salat. Dalam keluarga saya lebih dikenali sebagai kuih pulut aji. Tang mana yang ajinya tu ntah la. Dan sekarang ni anak saya memanggilnya pula dengan nama 'kek pulut'.

Cadangnya nak buat perisa pandan saja & memang anak saya minta yang aslinya pun. Tapi biasalah mak tak nak mengalah. Sudahnya buat dua-dua. Si Adam sampai sanggup pergi ambil daun pandan di luar. Tak buat karang kesian la pulak.

Resepi ini saya dapat dari kak Linda. Berikut adalah bahan dan cara membuatnya mengikut olahan saya sendiri.

Bahan-bahannya:

Lapisan Bawah:

250gm beras pulut - rendam selama 30 minit, bersih & toskan
1 cawan santan cair
1/2 sudu teh garam halus




Lapisan Atas:

1/2 cawan tepung gandum
1 1/2 sudu besar tepung jagung
70 gm gula pasir
1 biji telur
1 1/2 cawan susu cair*
5 helai daun pandan* (*kisar semua & tapiskan)
1/4 sudu teh pewarna hijau & perisa pandan (optional)
1/2 sudu teh garam halus

Cara Membuatnya:

Lapis Bawah:

1. Sediakan kukusan & biarkan mendidih.

2. Alas loyang dengan plastik & biarkan plastik tu lebih sikit pada tebing loyang. Satukan semua bahan dalam loyang & kacau rata.

3. Kukus selama 20-30 minit.

4. Keluarkan pulut dari loyang. Ratakan & padatkan permukaan pulut di dalam acuan lompang. Ketepikan & sedia untuk dimasukkan lapisan atas.

Lapisan Atas:

1. Kisar ke semua bahan lapisan atas.

2. Masak sebentar di atas api. Cukup sekadar naik wap saja.

3. Panaskan kukusan sekali lagi hingga mendidih dengan api sederhana. Letak loyang berisi pulut tadi ke dalam pengukus & perlahan-lahan tuangkan adunan lapisan atas.

4. Kukus selama 45 min - 1 jam.


Nota:

1. Anda boleh menggantikan susu cair dengan santan di bahagian lapisan atas.

2. Untuk seri muka durian, gantikan gula pasir dengan gula merah (sekiranya suka, saya tak ganti) & masukkan juga isi durian dari 5 ulas durian.

3. Untuk loyang bulat dalam post ini, saya menggunakan loyang "loose bottom" berukuran 7".

4. Kuantiti seri muka durian dari adunan ini adalah sebanyak 19 biji (guna acuan lompang).

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...