Showing posts with label Malay Traditional Kuih/Kue. Show all posts
Showing posts with label Malay Traditional Kuih/Kue. Show all posts

Monday, 1 August 2011

Pulut Sekaya Asli & Durian


Selain daripada nama pulut sekaya, kuih ini juga dikenali sebagai kuih seri muka atau kuih putri salat. Dalam keluarga saya lebih dikenali sebagai kuih pulut aji. Tang mana yang ajinya tu ntah la. Dan sekarang ni anak saya memanggilnya pula dengan nama 'kek pulut'.

Cadangnya nak buat perisa pandan saja & memang anak saya minta yang aslinya pun. Tapi biasalah mak tak nak mengalah. Sudahnya buat dua-dua. Si Adam sampai sanggup pergi ambil daun pandan di luar. Tak buat karang kesian la pulak.

Resepi ini saya dapat dari kak Linda. Berikut adalah bahan dan cara membuatnya mengikut olahan saya sendiri.

Bahan-bahannya:

Lapisan Bawah:

250gm beras pulut - rendam selama 30 minit, bersih & toskan
1 cawan santan cair
1/2 sudu teh garam halus




Lapisan Atas:

1/2 cawan tepung gandum
1 1/2 sudu besar tepung jagung
70 gm gula pasir
1 biji telur
1 1/2 cawan susu cair*
5 helai daun pandan* (*kisar semua & tapiskan)
1/4 sudu teh pewarna hijau & perisa pandan (optional)
1/2 sudu teh garam halus

Cara Membuatnya:

Lapis Bawah:

1. Sediakan kukusan & biarkan mendidih.

2. Alas loyang dengan plastik & biarkan plastik tu lebih sikit pada tebing loyang. Satukan semua bahan dalam loyang & kacau rata.

3. Kukus selama 20-30 minit.

4. Keluarkan pulut dari loyang. Ratakan & padatkan permukaan pulut di dalam acuan lompang. Ketepikan & sedia untuk dimasukkan lapisan atas.

Lapisan Atas:

1. Kisar ke semua bahan lapisan atas.

2. Masak sebentar di atas api. Cukup sekadar naik wap saja.

3. Panaskan kukusan sekali lagi hingga mendidih dengan api sederhana. Letak loyang berisi pulut tadi ke dalam pengukus & perlahan-lahan tuangkan adunan lapisan atas.

4. Kukus selama 45 min - 1 jam.


Nota:

1. Anda boleh menggantikan susu cair dengan santan di bahagian lapisan atas.

2. Untuk seri muka durian, gantikan gula pasir dengan gula merah (sekiranya suka, saya tak ganti) & masukkan juga isi durian dari 5 ulas durian.

3. Untuk loyang bulat dalam post ini, saya menggunakan loyang "loose bottom" berukuran 7".

4. Kuantiti seri muka durian dari adunan ini adalah sebanyak 19 biji (guna acuan lompang).

Friday, 29 July 2011

Kuih Talam Jagung

Kuih lagi! Dah nak dekat-dekat Ramadhan ni tetiba je angin buat kuih tu rajin semacam. Tak tahu la karang kalau dah bulan puasa macam mana.

Senarai segala-mala kuih, lauk-pauk, pencuci mulut dan lain-lain dah tersedia. Haih! Bukannya nak bersedia untuk puasa... na'uzubillah. Ye la, di samping kita puasa, bila menjelang petang nak tak nak memang kena ke dapur juga. Bagi saya, berkongsi resepi pun sebahagian dari ibadah bagi mencari redha Allah swt. Bagaimanakah caranya lagi surirumah seperti saya dapat menyumbang kepada masyarakat? Ini salah satu sumbangan kecilnya.

Selain itu, bukan apa, nak habiskan stok jagung di rumah ni. Dari terbuang, baiklah saya guna. Ini pun masih berbaki satu tongkol. Esoklah pula. Mungkin cucur jagung ke?

Resepi asal kuih ini adalah dari kak Hanieliza Kamarudin telah diubahsuai mengikut kuantiti bahan yang ada di rumah.



Bahan Lapisan Bawah:

1 cawan jagung (tin pun boleh tapi saya guna jagung tongkol)
1 cawan tepung beras
2 sudu besar tepung kastad
1 cawan santan
1 cawan air
1/2 cawan gula

Bahan Lapisan Atas:

1 cawan tepung beras
1 cawan santan
1 cawan susu segar
1 sudu teh garam

Cara Membuatnya:

1. Kisar semua lapisan bawah. Jika guna jagung krim, digaul saja.

2. Masukkan dalam acuan lompang/loyang yg telah disapukan sikit minyak.

3. Kukuskan selama 20 minit.

4. Campurkan semua bahan lapisan atas dan tapiskan dalam periuk.

5. Kacau sekejap [10 minit] di atas api yg paling kecil.

6. Bila adunan lapisan bawah sudah masak, cakarkan sikit dan tuangkan perlahan-lahan adunan lapisan atas.

7. Kukuskan selama 20 minit.

8. Sejukkan betul-betul barulah dikeluarkan/dipotong.


Nota:

Saya tetap gemar menggunakan acuan lompang kerana kuih amat mudah dikeluarkan darinya.

Kuih Tepung Gomak @ Abok-Abok

Memang dah rutin harian saya buka Google & melompat dari blog ke blog untuk cari resepi. Paling tidak saya akan melihat gambar saja. Saja cuci-cuci mata.

Hari ni bila saya tanya pakcik Gugel yang baik hati tu, saya temui satu perkara. Abok-abok selatan dengan abok-abok utara adalah 2 kuih yang berbeza. Kebanyakan tempat mengenali kuih ini sebagai kuih tepung gomak. Tapi dari saya kecil, kami memanggilnya dengan nama kuih abok-abok. Mungkin disebabkan kuihnya yang berhabuk itu.

Jom kita tengok resepi kuih tepung gomak @ abok-abok/abuk-abuk ini.


Bahan-bahan (menghasilkan 10 biji yang comel-comel):

Bahan Inti:

1 cawan kelapa parut
1/2 roda gula enau/gula nisan (boleh ganti gula merah 1/2 cawan)
1/4 air

Bahan Kulit:

125 g tepung pulut
25 g tepung gandum
1/2 cawan air
sedikit garam

Bahan Salut:

75 g kacang hijau - digoreng tanpa minyak, dikisar & diayak.




Cara Membuatnya:

1. Satukan semua bahan inti di dalam kuali. Masak hingga air kering. Ketepikan & biar sejuk.

2. Panaskan periuk yang mengandungi air.

3. Sementara menunggu air tersebut mendidih, satukan semua bahan kulit. Uli hingga menjadi doh dan adunan tidak melekat. Cubit adunan ini dan buat bebola siap-siap mengikut saiz yang dikehendaki. Masukkan inti, tutup dan leperkan.

4. Setelah air mendidih, masukkan kuih yang telah dibentukkan tadi. Tunggu hingga ia timbul. Sesudah timbul, cedok menggunakan penapis. Toskan airnya.

5. Golekkan dalam bahan salut (kacang hijau).

6. Sedia untuk dihidang.



Nota:

1. Boleh menggunakan tepung pulut saja tapi setelah diuli ia akan cepat kering.

2. Boleh tambah 1 sudu besar gula putih di inti sekiranya suka.

3. Kacang hijau juga boleh digantikan dengan tepung kacang hijau yang telah tersedia di pasaran.

Thursday, 28 July 2011

Kuih Sagu @ Bronok

Kuih sagu atau kuih telur katak saya panggil. Sejenis kuih yang lazim benar didapati ketika bulan Ramadhan.

Kuih ini sangat mudah disediakan dan sedap untuk dimakan. Mengimbau juga kenangan zaman kanak-kanak. Teruja saat mak buat. Dah besar-besar ni baru nak belajar buat sendiri. Rupanya taklah sesusah mana. Cuma cara itu telah diubah sedikit bagi mendapatkan hasil yang comel-comel gitu.




Kuih Sagu @ Bronok

Bahan-bahan:

1 cawan sagu biji kecil
3 cawan air
3/4 cawan gula pasir
Sedikit pewarna merah & perisa ros

1/2 biji kelapa parut putih sahaja*
1 sudu kecil garam* (gaul bahan bertanda * hingga mesra)


Cara-caranya:

1. Panaskan air, pewarna merah & perisa ros sehingga mendidih.

2. Masukan sagu, kemudian kacau rata.

3. Masukan gula, gaul rata. Apabila adunan nampak pekat sedikit, masukan ke dalam acuan lompang/loyang yang telah digriskan dengan sedikit minyak.



4. Kukus selama 20 minit atau sehingga sagu menjadi jernih.


Nota:

1. Kuih ini boleh dikacau saja di dalam periuk sehingga sagunya bertukar warna dari putih hingga jernih. Namun, saya mengukusnya kerana dengan cara ini sagunya akan lebih cepat mengembang dengan sekata & saya tidak perlu mengacaunya lama-lama.

2. Sejukkan kuih ini sepenuhnya sebelum dikeluarkan/dipotong. Mengeluarkan kuih ini dari acuan lompang lebih mudah dari memotongnya. Setelah dikeluarkan ia boleh digolekkan di dalam kelapa parut yang bercampur garam itu tadi.



3. Ia juga boleh bertukar menjadi kuih sagu gula melaka dengan membuat kuah santan dan kuah gula merah. Kuih sagu gula melaka enak dimakan sejuk-sejuk. Resepi kuih sagu gula melaka boleh didapati di Azita Kitchen.






Tuesday, 26 July 2011

Bubur Jagung Bersagu

Fikir punya fikir. Apa la yang nak dimakan petang-petang ni? Teringin sangat nak makan kuih sagu @ bronok, dah kelapa parutnya pula tamat tempoh. Hapak bukan main. Sudahnya campak saja.

Terlupa sungguh pada jagung yang satu ni. Jagung yang dibeli oleh kakak saya dari pasar malam hari Rabu lepas. Sampai nak jumpa Rabu balik masih ada 3 tongkol dalam peti ais. Masa dia ada tempohari sempat buat cucur jagung je.


Bahan-bahan:

3 tongkol jagung manis mentah
3 cawan air
Sehelai daun pandan
1 roda gula enau
3 sudu besar gula pasir
1 sudu teh garam
100 ml santan pekat
5 sudu besar sagu


Cara membuatnya:

1. Bersih & hiriskan jagung. Masukkan jagung yang telah dihiris ke dalam periuk bersama air & daun pandan (simpul). Masak hingga mendidih.

2. Masukkan gula enau, gula pasir & garam ke dalam periuk tadi. Biarkan sebentar.

3. Masukkan santan & sagu. Masak hingga mendidih serta sagu kelihatan jernih. Tutup api.


Nota:

1. Kuantiti air & gula adalah guideline saja. Terpulang kepada citarasa sendiri.

2. Kelembutan jagung juga terpulang kepada citarasa masing-masing.

3. Gula enau juga dikenali sebagai gula gerek atau pun nisan (nisse) di sesetengah tempat.



Tengoklah si Zaid tu betapa curiousnya dia dengan lappy. Sekejap pandang lappy, sekejap pandang kakak. Beria pandang macam faham beno.

Monday, 25 July 2011

Kuih @ Bubur Qasidah

Saya macam pernah lihat kuih qasidah ini tidak lama dulu. Bila Jue, salah seorang kawan RH saya tayang gambar di FB hari ni, hati bagai digaru untuk buat kuih ni. Terima kasih, Jue. Bagi inspirasi pada akak ni.

Kuih ini berasal dari utara. Resepinya mudah sekali. Yang penting kena dengan citarasa saya. Maklum sajalah saya kan orang sebelah sana juga.


Bahan:

2 cawan tepung gandum
4 1/2 cawan air
1 sudu besar tepung jagung
1 cawan gula
sedikit garam
5 sudu besar minyak sapi
10 ulas bawang merah - dirincik

Cara membuatnya:

1. Campurkan tepung gandum, tepung jagung, gula air dan garam.

2. Tapis dan masak atas api sehingga pekat.

3. Bila dah agak pekat dan tak berapa melekat dikuali/periuk boleh la tuang kedalam acuan.



4. Panaskan minyak sapi dan goreng bawang sehingga kekuningan, taburkan diatas kuih tadi.

5. Bila dah sejuk bolehlah dipotong.

Sumber : Juadah Masakan Mami (Hjh Fadilah Hanum)


Nota:

1. Saya memasukkan adunan kuih ini ke dalam acuan lompang.



2. Biarkan ia sejuk sepenuhnya. Ini bagi memudahkan ia dikeluarkan kemudian.


Sunday, 26 June 2011

Kuih Buah Melaka/Onde-Onde



Gara-gara berebut komputer & lappy dengan anak-anak, saya tak sempat update projek petang semalam. Inilah dianya. Yang kita selalu cari di waktu bulan Ramadhan.

Saya masih ingat ketika kecil dulu waktu mak buatkan kuih ini saya sangat leka berdiri di sebelahnya. Bukanlah nak tolong sangat. Tapi teruja mendengar bunyi kuih itu ketika dicampakkan ke dalam periuk berisi air panas menggelegak & menunggu ia timbul. Plup! Plup!

Bahan-bahan:

250 g tepung pulut
3/4 cawan jus pandan (jika tiada pandan, anda boleh menggunakan 1/2 sudu teh perisa pandan + 1/2 sudu teh pewarna hijau + 3/4 cawan air)
1 ketul gula gerek/nisan/enau (dipecahkan)
sedikit kelapa muda parut (ambil bahagian putih saja)


Cara buat:

1. Panaskan air dalam periuk.

2. Sementara itu, bancuhkan tepung dengan jus pandan sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh digentel.

3. Cubit adunan mengikut saiz yang anda gemari dan leperkan.

4. Masukkan gula gerek yang telah dipecahkan di tengahnya, tutup adunan & bulat-bulatkan.


5. Pastikan air dalam periuk tadi benar-benar menggelegak baru masukkan bebola pulut tadi.

6. Biarkan sehingga bebola tadi timbul. Jika sudah timbul, angkat dan toskan.

7. Golekkan di dalam kelapa parut. Kelapa parut ini boleh dengan atau tanpa garam. Saya buat tanpa garam.






*****


Cer banding sikit dengan buah melaka sebenar...



Sumber gambar dari Wiki : Pokok Melaka



Tuesday, 21 June 2011

Kuih Lompang @ Kasuwi


Projek petang tadi ~ kuih lompang atau dikenali juga sebagai kuih kasuwi/kasui/kaswi/mortar steamed cake. Resepi ini saya dapat dari Fiza. Cuma saya derhaka sedikit pada bahan-bahannya.

Sedikit kisah tentang kuih lompang (asalnya tidak diketahui):

Kuih lompang merujuk kepada sejenis kuih tradisi yang popular di Malaysia. Ia biasanya berbentuk cawan kecil dengan sedikit lubang / lompang dibahagian tengah. Pada kebiasaannya kuih lompang bewarna-warni. Kuih Lompang merupakan sejenis kuih yang dikukus, dengan itu adalah menyihatkan kerana tidak mempunyai minyak. Kuih Lompang diperbuat dari campuran ramuan tepung beras dan tepung ubi. Boleh didapati dalam warna coklat atau pelbagai warna yang lain. Kuih Lompang merupakan sajian makanan ringan yang dimakan dengan kelapa parut muda yang ditabur diatasnya.

Sumber : Wiki


Saya suka resepi ini kerana bahan-bahannya yang sedikit & rasanya yang kenyal itu. Banyak versi yang saya dapat di internet tapi inilah yang paling mudah. Sesekali bila makan kuih lompang versi ini terasa seperti memakan kuih bakul.





Bahan-bahan:

4 cawan air
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung ubi
2 sudu besar susu tepung
2 cawan gula merah
Sedikit garam
2 sudu besar susu pekat

Kelapa sebagai hiasan

Caranya:

1. Bancuhkan 2 cawan air bersama tepung gandum dan tepung ubi. Kacau sebati.

2. Panaskan 2 cawan gula merah bersama 2 cawan air & sedikit garam. Kacau sampai gula merah hancur.

3. Tapiskan air gula tadi & masukkan ke dalam adunan tepung, sambil dikacau sehingga larut.

4. Masukkan susu pekat, dan kacau lagi.

5. Sementara itu panaskan pengukus.

6. Lengserkan loyang/acuan dengan minyak. Tapiskan sekali lagi adunan ke dalam loyang/acuan. Kukus selama 15-20 minit dengan api yang sederhana.

7. Bila dah masak, sejukkan, potong ikut suka (sekiranya dikukus di dalam loyang) dan gaul bersama kelapa yang telah dicampurkan dengan secubit garam. Boleh juga makan begitu saja.


Saturday, 18 June 2011

Karipap Sardin Berkentang

Pagi Sabtu ni suami saya cuti. Mulanya dia nak keluar beli makanan, tapi saya ajak dia buat karipap. Dah lama nak buat projek ni sebab dah lama tak buat. Lagi pun saya nak cubalah buat ikut resepi lain dari yang biasa-biasa saya buat. Saya buat doh, suami saya masakkan intinya. Intinya inti sardin.

Kali ni saya gunakan resepi doh di MyResepi.com.

Bahan-bahan untuk Doh Karipap (50 biji):

250 ml air
½ cawan ais
½ sd besar garam
500 g tepung gandum - diayak
1 biji telur
94 g lepa susu (karipap jadi rangup) @ marjerin
Minyak untuk menggoreng & Secukup tepung untuk mencanai
Cara-cara

Cara membuat doh:

1. Campurkan air bersama garam dan ais, kacau hingga garam larut. Ketepikan.

2. Masukkan tepung dalam mangkuk. Gaul tepung dgn telur hingga jadi serbuk roti.

3. Panaskan lepa susu / marjerin / campuran sepertinya atas api kecil hingga bebuih dan tuang rata2 atas tepung tadi.

4. Gaul lagi hingga jadi serbuk roti - gunakan hujung jari. Masukkan sedikit sedikit air ais bergaram dan gaul hingga jadi doh. Hentikan penambahan air bila dah jadi doh. Rehatkan 1 jam (boleh gunakan masa ini untuk masak inti).

5. Bahagikan doh 2 bahagian (setiap bahagian menghasilkan ±25 keping karipap). Ambil 1 bahagian dan canai nipis atas landasan bertepung. Gulung ketat-ketat dan golek hingga jadi silinder.

6. Potong gulungan silinder tadi hingga mendapat +- 20 ke 25 ketul. Canai nipis (2mm) setiap satu ketul dan isikan mengikut kesesuaian acuan karipap anda. Tutup dan picit untuk menutupkannya, kelim kemas-kemas untuk mengelakkan bocor sewaktu menggoreng.


8. Ulangi proses mencanai nipis setiap ketul hingga habis.

9. Goreng terendam atas api perlahan - sederhana hingga kuning keemasan. Tos atas kertas dapur dan hidangkan.

* Boleh juga digunakan crisco, minyak sapi, mentega atau keduanya (nisbah 1/2:1/2). Kalau malas nak canai semua doh, boleh dibalut doh dengan plastik dan simpan dalam bahagian atas. Untuk menggunakannya, keluarkan dan biarkan ia pada suhu bilik. Karipap belum digoreng boleh disimpan lama dengan menyusunnya atas dulang terlebih dahulu dan letak dalam fridge hingga beku (1-2 jam). Kemudian ambil setiap satu dan balut plastik agar tak melekat, baru boleh simpan dalam bekas plastik dan letak dalam fridge semula.






Bahan-bahan untuk inti:

3 biji bawang besar - potong dadu
1 inci halia - diketuk
3 biji bawang putih - dihiris nipis
1 tin sardin/mackerel - saiz sederhana
3 biji kentang saiz sederhana - potong dadu
1 cawan air
1 keping asam keping
2-3 biji cili padi - dipotong halus
1-2 sudu besar cili kisar
Gula & garam secukup rasa

1. Tumis bawang, halia dan bawang putih hingga naik bau.

2. Masukkan sardin & kentang. Hancurkan sardin. Masak hingga lembut.

3. Masukkan air, asam keping, cili padi, cili kisar, garam dan gula secukup rasa. Masak hingga betul-betul kering sambil dibalik-balikkan. Jangan biar sampai hangit.

4. Setelah benar-benar masak & kering, tutup api & toskan untuk buang minyak.

5. Biar sejuk sebelum guna.




Saturday, 11 June 2011

Apam Mentega Gula Hangus

Saya mendapat inspirasi membuat apam ini melalui Fiza, seorang sahabat yang saya kenali di Wad Paedatrik, Hospital Sg Buloh. Kami sama-sama merasa membesarkan amanah yang amat istimewa. Walau pun tidak sama kondisi, namun saya berasa teramat rapat dengannya. Manakan tidak, ketika kami baru saling mengenali, saya pernah menjenguk-jenguk anaknya, Sofie, yang ketika itu ditinggalkan sebentar untuk dia bersolat Asar.

Dan tanpa diduga, suaminya dan suami saya bersekolah di satu sekolah yang sama ketika sekolah menengah. Mereka saling mengenali. Berkongsi kisah hidup yang seakan serupa, malah kini berkongsi pula minat yang sama, bukankah ia tanda jodoh panjang? InsyaAllah.

Berbalik kepada resepi kali ini, saya baru saja mencubanya malam tadi. Apam gula hangus ni adalah salah satu menu pilihan saya ketika bulan puasa. Resepi yang saya akan kongsikan ini ada sedikit kelainan pada rasanya ~ lebih lemak & lembut. Adakalanya terasa seperti memakan kek kukus. Mungkin kerana kandungan susu yang terdapat di dalamnya.

Resepi Apam Mentega Gula Hangus

Bahan-bahan untuk gula hangus:

1 cawan gula pasir
1/2 cawan air
125 gm mentega

Bahan-bahan untuk apam:

1/2 cawan gula pasir (seeloknya dikisar terlebih dahulu)
2 biji telur
1/2 sudu teh esen vanilla
*1 1/2 cawan tepung gandum
*1/2 sudu teh soda bikarbonat (*diayak bersama)
200 ml susu cair

Cara-cara:

1. Cara membuat gula hangus: Masukkan gula dalam periuk, masak dengan api perlahan hingga gula larut dan berwarna perang. Padamkan api, dan masukkan air. Nyalakan api semula dan kacau sehingga semuanya larut. Masukkan mentega, kacau rata dan ketepikan.


2. Pukul gula, telur dan esen vanilla sehingga kembang dan masukkan gula hangus yang masih panas tadi. Terus memutar tanpa henti.

3. Kemudian, masukkan susu sambil diselang-selikan dengan tepung. Gaul sehingga sebati.

4. Panaskan pengukus dan acuan kuih/kertas cawan. Tuangkan adunan ke dalam acuan. Boleh dituang penuh kerana bila ia masak adunan tidak akan melimpah.

5. Kukus apam ini selama 10-15 minit atau sehingga masak. Setelah masak, sejukkan seketika dan sedia untuk dihidangkan.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...