Showing posts with label Seafood. Show all posts
Showing posts with label Seafood. Show all posts

Thursday, 16 June 2011

Kari Hijau Ikan Tongkol


Tahukah anda dari mana asalnya kari hijau? Ya.. ia berasal daripada Thailand.

Dari Wiki:

Kari masakan Thailand menggunakan daging, ikan, atau sayur-sayuran yang dimasak di dalam sos berempah yang diperbuat daripada cili, daun limau purut, serai, lengkuas, dan santan. Oleh itu, ia cenderung berbau lebih harum, berbanding dengan kari India.

Kari-kari Thailand seringnya dihuraikan mengikut warna, iaitu:

  • Kari Merah untuk kari yang menggunakan cili merah;

  • Kari Hijau yang menggunakan cili hijau;

  • Kari Kuning yang mirip dengan kari India dan yang menggunakan kunyit dan jintan putih.


  • Kari Kuning yang biasanya mengandungi ubi kentang juga dikenali sebagai kari gaeng (ejaannya berbeza-beza). Terjemahan harfiah untuk kari gaeng ialah "kari kari" kerana ia adalah satu-satunya kari Thailand yang benar-benar merupakan kari dan disesuaikan daripada masakan India.


    Kari hijau ini sedap rasanya. Lemak tapi tidak muak. Mungkin kerana rasa rempah & aroma daun limau purutnya itu yang telah mesra dengan kuah dan isi ikannya. Resepi ini diambil dari buku Belajar Memasak 2 keluaran Alaf 21 oleh Chef Norzailina Nordin.



    Kari Hijau Ikan Tongkol

    Bahan-bahan:

    80 ml minyak masak
    900 gm ikan kayu/tongkol/aya
    700 ml santan
    Jus dari sebiji limau nipis
    2 sudu teh ketumbar*
    1 sudu teh jintan manis*
    1 sudu teh lada putih - ditumbuk
    2-3 keping daun limau purut
    Garam & gula secukup rasa

    *Bahan-bahan ini disangai dan ditumbuk halus.

    Bahan kisar:
    5 biji cili hijau
    5-6 biji cili api
    1 biji bawang besar
    2 ulas bawang putih
    1 sm halia
    1 sm kunyit
    sedikit air


    Cara buat:

    1- Panaskan minyak & tumis bahan kisar hingga naik bau.

    2- Masukkan ketumbar, jintan manis & lada putih. Kacau hingga keluar minyak.

    3- Tuangkan santan dan kacau sekali-sekala di atas api sederhana hingga mendidih.

    4- Tambah garam & gula secukup rasa.

    5- Masukkan pula daun limau purut yang dibuang batangnya.

    6- Masukkan ikan, kacau hingga mendidih dan ikan masak. Masukkan jus limau. Kacau rata dan angkat.

    *Ikan tongkol/kayu/aya boleh ditukar ke daging/ayam atau ikan lain yang dirasakan bersesuaian.


    Wednesday, 15 June 2011

    Udang Goreng Mentega


    Dulu-dulu kami sangat suka makan di Kelana Seafood Center (KSC), Kelana Jaya. Kemudian KSC ini membuka cawangannya di tempat tinggal kami. Harga makanannya jauh lebih murah di cawangan berbanding dengan di Kelana Jaya. Antara makanan kegemaran saya ialah udang goreng mentega dan cekodok udang ubi keledek (bukan cekodok yang kecil-kecil tu, ini dimakan bersama dengan nasi).

    Saya mengenali chef utama di cawangan yang saya kenali sebagai Chef Khairy. Sering makan tengahari semeja dengannya. Malah dia pernah mengajar memasak udang goreng mentega & cekodok udang ubi keledek itu semasa kami tengah makan! Aduh.. mana la saya boleh ingat. Yang saya boleh lakukan hanya membayangkan rasa sedap kedua-dua makanan tersebut (kakak saya memberi petua ~ untuk memasak, kita terlebih dahulu kena peka dengan bahan yang dimasukkan ke dalam satu-satu masakan).

    Sayangnya KSC kini hanya tinggal nama. Akhbar The Star melaporkan bahawa KSC telah dengan rasminya ditutup pada 30 April 2008. Sebelum ia ditutup, cawangannya di SU terlebih dahulu diarahkan agar ditutup. Untuk menghilangkan rasa rindu udang goreng mentega KSC, saya cuba untuk mengingatkan kembali pada apa yang diajar oleh Chef Khairy.


    Kelab di mana terletaknya cawangan KSC di tempat kami.


    Antara petua dia yang saya masih ingat, semasa memutar telur di dalam minyak tu perlu diputar laju-laju tanpa henti dan kena pandai kawal api. Yang lain, saya hanya menggunakan ingatan deria rasa saya. Tapi sudah tentulah rupanya tidak akan sama. Untuk menghasilkan telur goreng yang bertali itu sudah tentulah peralatan dapurnya kena sesuai. Terutamanya kuali untuk menggoreng itu. Kualinya perlulah seperti kuali di restoran besar yang mana ia perlulah besar & minyak yang digunakan perlu banyak.



    Bahan-bahan:
    2 biji kuning telur - dipukul
    5 ekor udang besar (XL)
    3 biji cili api - dipotong kecil
    2 tangkai daun kari
    susu cair/buttermilk - nak banyak pun ok
    sedikit garam
    sedikit gula
    mentega/marjerin (jika marjerin, saya gunakan jenama Daisy)
    minyak

    1. Masukkan sedikit minyak (dalam 2 sudu besar) dan mentega/marjerin (dalam 3 sudu besar) dalam kuali. Jangan letak mentega saja nanti cepat hangit. Pastikan minyak betul-betul panas. Apabila sudah panas, turunkan telur perlahan-lahan sambil sebelah tangan lagi memutarkan telur itu tanpa henti (putar macam mamak bancuh air kat kedai tu, non stop high speed). Masak sehingga telur bertukar warna kecoklatan. Angkat dan toskan. Biar sejuk.

    2. Goreng udang besar sampai masak & angkat.


    3. Tumiskan cili api dalam minyak & butter yang dipanaskan terlebih dahulu. Masukkan daun kari (buang batangnya). Biar sampai layu sedikit. Masukkan sedikit susu cair, garam & gula. Masukkan udang. Kacau selama beberapa minit. Angkat.

    4. Gaulkan udang dengan telur yang telah digoreng tadi.

    5. Sedia untuk dimakan. Nah! Tak perlu lagi beli di luar. Saya memang dah buat ni berkali-kali. Jadi menu kegemaran keluarga pula lagi.

    Tips:

    1. Sebelum menurunkan telur, pastikan minyak panas terlebih dahulu.

    2. Semasa menurunkan telur, kacau telur itu dalam satu arah sahaja. Jika mengikut arah jam, ikut arah itu saja sehingga selesai. Jangan putar & berhenti. Perlu putar tanpa henti sehingga telur benar-benar masak (bertukar kecoklatan). Ia akan berbuih.



    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...