Thursday 21 July 2011

Kek Belang Mini

Ini projek saya petang ini. Anak saudara (orang utara menggelar anak menakan) dari awal meminta saya membuat kek mahu pun makaron sekiranya dia datang ke rumah.

Oleh kerana tahap kerajinan tidak di tahap maksima untuk membuat makaron walau pun putih telur telah disimpan dari minggu lepas, maka saya mengambil keputusan buat kek ini saja.

Kata adik saya, "Yang ni pun hang nak bagi belang-belang?". Maksudnya tu, sekecil itu pun saya nak belangkan. Tapi ternyata yang kecil beginilah yang cepat laku. Tambah rasa dan strukturnya juga teramat lembut. Lenyap di mulut. Yang besar-besar tu belum tentu habisnya.


Bahan-bahan:

200 g coklat putih
3 biji telur
1/2 cawan air
1 cawan minyak
1/2 cawan gula halus (atau gula kasar yang dikisar terlebih dahulu)
1/2 cawan susu pekat
2 cawan tepung gandum*
1/2 sudu teh serbuk penaik*
1/2 sudu teh soda bikarbonat* (*diayak bersama)




Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus dengan api yang sederhana.

2. Cairkan coklat putih dalam periuk kecil menggunakan kaedah double boiler. Setelah cair, ketepikan.

3. Satukan telur, air, minyak & gula. Pukul hingga kembang. Masukkan susu pekat & coklat putih yang telah dicairkan. Pukul & sebatikan.

4. Masukkan tepung yang telah diayak bersama serbuk penaik dan soda bikarbonat sedikit demi sedikit. Pukul hingga sebati. Untuk membuat belang, bolehlah dibahagikan dengan perisa/pewarna.

5. Tuang ke dalam acuan (lengserkan dengan marjerin)/cawan kertas (3/4 daripada acuan/cawan kertas tersebut) secara berselang-seli. Masukkan dalam pengukus. Kukus hingga masak (lebih kurang 20-30 minit).

6. Selepas masak, biarkan ia sejuk sebelum dikeluarkan.



Nota:

1. Saya membahagikan adunan ini kepada dua bahagian. 1 bahagian saya letakkan serbuk koko sebanyak 3 sudu teh.

2. Ada juga adunan yang saya letakkan coklat cip.

3. Hiasan terpulang mengikut citarasa sendiri.

4. Sekiranya anda tiada pemutar, anda boleh menggunakan pengisar. Kaup balik sahaja tepung ke dalam adunan yang cair itu.

5. Tutup penutup pengukus dengan kain bagi mengelakkan wap air terjatuh ke atas kek.

6. Air di dalam adunan ini boleh digantikan dengan susu segar.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...