Thursday, 21 July 2011

Kek Marmar Susu

Kek marmar susu aka marble susu.

Kek ini telah saya cuba beberapa bulan yang lalu sebelum bersalinkan si Zaid. Moga Zaid menjadi anak yang rajin dan ringan tulang suatu hari nanti, insyaAllah. Saya masih ingat sepanjang saya memasak atau membancuh adunan kek, dia agak tenang ketika di dalam kandungan.

Perasaan saya, ia seolah bunyi yang menyeronokkan baginya. Hati seorang ibu.. begitulah.. Hanya kita yang tahu & rasa apa yang kita lalui ketika hamil. Bayi di dalam kandungan juga memberikan reaksi pada situasi yang tertentu. Itu sudah tentu.

Berbalik kepada kek ini. Berikut merupakan resepi mengikut olahan saya. Resepi asalnya dari Chef Norzailina Nordin (boleh dirujuk di sini. Terima kasih, CMG):



Bahan-Bahannya :-)

250 g mentega (nak sedap guna mentega berkualiti tinggi)
150 g gula perang
2 sudu teh ovalette
4 biji telur gred A
270 g tepung halus*
1 sudu teh serbuk penaik*(*disatukan dan diayak)
60 g susu pekat manis
100 ml susu cair
2 sudu besar serbuk koko
1 sudu teh pes cappuccino

Cara membuatnya:

1. Pukul mentega, ovallete dan gula halus hingga putih. Masukkan telur satu persatu sambil terus memutar hingga kembang dan gula hancur. Masukkan susu pekat dan gaul rata.

2. Perlahankan kelajuan dan masukkan tepung sedikit demi sedikit berselang-seli dengan susu cair/susu segar hingga habis, gaul rata. Bahagi adunan kepada 2 bahagian yang sama banyak. Satu dibiarkan tanpa warna dan satu bahagian di campur dengan serbuk koko & pes cappuccino. Gaul hingga sebati.

3. Tuang secara berselang seli antara adunan tanpa warna dan adunan coklat dalam tin yang telah dilenser dengan mentega dan dasarnya dialas dengan kertas minyak.

4. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175°C selama sejam atau sehingga masak. Sejukkan 5 minit sebelum dikeluarkan dari tin. Sejukkan sepenuhnya atas jaringan dan hias ikut suka..

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...