Monday, 27 June 2011

Kek Belang Cappuccino


Anak teruna saya minta kek ni dah berminggu tapi saya berat hati nak buat memandangkan ia adalah kek 'recycle'. Maksud saya resepinya pernah saya cuba. Sebenarnya kek ini adalah hasil godekan dari kek coklat putih juga, yang mana salah satu bahannya adalah coklat putih & krim putar. Cuma rupa dia saya ubah menjadi belang-belang. Salah satu stok perisa wajib ada dalam rumah saya ialah cappuccino sebab saya sangat menggemari rasanya.

Cara meletak belang begini telah diajar turun-temurun dari mak saya. Masa saya kecil dulu memang saya suka melihat mak buat kek dan kuih tapi sekadar tengok sajalah. Sebenarnya saya bukanlah seorang yang pandai masak. Ini disebabkan saya mempunyai 3 orang kakak. Penuh dapur dengan dia orang je. Yang kecil-kecil ni kalau masuk sikit ada je la yang tak kena. Ahh.. melalut pulak...




Bahan-bahan:

1 cawan cip coklat putih/bar coklat putih
200 ml krim putar (dairy)

Masukkan cip dan krim ke dalam periuk dan panaskan menggunakan kaedah double boiler. Biarkan cip cair dan sebati dengan krim putar. Sekiranya tiada krim putar, ia boleh diganti dengan susu.

250gm mentega
1/2 cawan gula perang
4 biji telur sederhana
1 sudu teh esen vanilla/serbuk vanilla
2 cawan tepung gandum (ikut kesesuaian)
1 sudu teh serbuk penaik

1. Pukul mentega dengan gula sampai kembang. Masukkan telur satu persatu. Masukkan vanilla.

2. Masukkan sedikit demi sedikit tepung gandum yang telah diayak bersama serbuk penaik sehingga sebati.

3. Kemudian masukkan sedikit demi sedikit adunan cip coklat putih yang telah sejuk tadi.

4. Masukan dalam loyang dan bakar selama 1 jam (atau hingga masak) pada suhu 190 darjah Celsius api bawah sahaja.

5. Masak dengan kaedah steam bake.


Nota:

1. Untuk hasilkan layer, ambil 1/3 daripada adunan. Tambahkan pewarna/perisa yang disukai. Selang-selikan/tindankan saja lapisan tersebut tanpa perlu membuat corak (tak perlu pakai lidi dan sebagainya). Saya juga lebihkan lapisan putih. Tu sebab ia lebih tebal dari yang berwarna koko. Ratio: 3 senduk adunan putih : 2 senduk adunan cappuccino. Tapi ini terpulang kepada kreativiti anda.



2. Saya menggunakan loose bottom pan bersaiz 8 x 8 x 3. Terbocor sedikit. Itu sebab lapisan tu jadi nipis. Salah sendiri juga. Loyang yang biasa saya guna entah ke mana.

Sunday, 26 June 2011

Kuih Buah Melaka/Onde-Onde



Gara-gara berebut komputer & lappy dengan anak-anak, saya tak sempat update projek petang semalam. Inilah dianya. Yang kita selalu cari di waktu bulan Ramadhan.

Saya masih ingat ketika kecil dulu waktu mak buatkan kuih ini saya sangat leka berdiri di sebelahnya. Bukanlah nak tolong sangat. Tapi teruja mendengar bunyi kuih itu ketika dicampakkan ke dalam periuk berisi air panas menggelegak & menunggu ia timbul. Plup! Plup!

Bahan-bahan:

250 g tepung pulut
3/4 cawan jus pandan (jika tiada pandan, anda boleh menggunakan 1/2 sudu teh perisa pandan + 1/2 sudu teh pewarna hijau + 3/4 cawan air)
1 ketul gula gerek/nisan/enau (dipecahkan)
sedikit kelapa muda parut (ambil bahagian putih saja)


Cara buat:

1. Panaskan air dalam periuk.

2. Sementara itu, bancuhkan tepung dengan jus pandan sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh digentel.

3. Cubit adunan mengikut saiz yang anda gemari dan leperkan.

4. Masukkan gula gerek yang telah dipecahkan di tengahnya, tutup adunan & bulat-bulatkan.


5. Pastikan air dalam periuk tadi benar-benar menggelegak baru masukkan bebola pulut tadi.

6. Biarkan sehingga bebola tadi timbul. Jika sudah timbul, angkat dan toskan.

7. Golekkan di dalam kelapa parut. Kelapa parut ini boleh dengan atau tanpa garam. Saya buat tanpa garam.






*****


Cer banding sikit dengan buah melaka sebenar...



Sumber gambar dari Wiki : Pokok Melaka



Thursday, 23 June 2011

Puding Roti Butterscotch Karamel

Puding roti butterscotch karamel dengan buah-buahan koktel nama diberi. Ambik kau.. panjang berjela-jela.

Percaya atau tidak, roti butterscotch di rumah kami tak laku? Dah berhari di atas meja. Dari tamat tempoh baik saya lakukan sesuatu. Tengok pula kawan-kawan di Ratuhati bercerita tentang kesedapan puding roti karamel ini. Ilham datang. Terima kasih pada Fiza lagi kerana sudi kongsi resepi puding roti karamel dia yang tersangatlah mudah tu. Tapi hati saya menggaru sungguh nak buat bagi susah. Hahaha.. itulah saya...

Sambil mendengar petikan gitar Igor Presnyakov, terpaku pada lagu tema Pirate of The Carribean, terasa seakan menari bersama si Jack Sparrow di dapur. Hah! Beranganlah...



Jom tengok bahan-bahan puding ini.

Bahan A (karamel):

3 sudu besar gula
3 sudu besar air

Cara penyediaan karamel:
Masukkan gula ke dalam loyang. Saya menggunakan bekas kaserol 1.5l berbentuk 4 segi. Panaskan ia di atas api yang kecil. Setelah gula mencair, tuang 3 sudu besar air perlahan-lahan ke dalam bekas tadi. Biarkan sebentar. Tutup api. Ketepikan.



Bahan B:

5 keping roti butterscotch (carikkan dan tak perlu buang kulit)
1 tin air buah-buahan koktel (tin 410 g) (tapis, ambil airnya. Buahnya digunakan untuk hiasan)
3/4 cawan susu segar/cair
1/4 cawan susu pekat
2 biji telur
1 sudu teh esen vanila
1 sudu besar tepung kastad

Cara penyediaan puding:

1. Kisar kesemua bahan di atas hingga hancur. Tapiskan ke satu bekas lain untuk buang buih. Kemudian tapis sekali lagi ke dalam loyang/bekas yang mengandungi karamel bagi memastikan tiada buih. Sekiranya buih ini ada, ia akan menyebabkan puding anda berlubang-lubang.

2. Masukkan ke dalam pengukus yang telah dipanaskan terlebih dahulu dengan api yang sederhana. Kukus selama 30 minit atau pun sehingga masak.

3. Setelah masak biarkan sejuk sebentar sebelum diterbalikkan.

4. Setelah diterbalikkan, hidang dengan buah-buahan koktel tadi atau dengan yang lain-lain yang sesuai. Sedap dihidang sejuk.


Rujukan:

1. Tempat Fiza Simpan Resepi.

2. Hanieliza's Cooking.

Wednesday, 22 June 2011

Kek Buah Berkeju


Ada buah-buahan campuran nak buat apa ye? Ada juga krim keju. Asal nak buat kek fair lady.. ermmm.. tak mau la.. Prinsip saya ~ mesti cuba sesuatu yang baru. Yang masih tiada dalam album. Tak semestinya ikut trend orang lain juga.

Terus tanya pakcik Google. Selalunya pertanyaan saya mesti ikut imaginasi & bahan yang ada la. Tanya-tanya.. pakcik Google bawa saya pergi rumah lama Che' Mat Gebu. Teruja... The minute I saw the recipe terus pergi dapur. Kebetulan Zaid tengah tidur, Syafiah ke HSB dengan ayahanda & abangnya. Semalam abangnya ke Petrosains rombongan sekolah. Hari ni dapat cuti. Dia pun teruja ikut ayah & adik pergi rehab.

Tak rugilah saya buat kek ni. Serius sedap sangat. Dah masuk senarai kek favorite saya ni. Adam asyik ulang makan, siap minta buat lagi kalau habis.

Bahan-Bahannya (mengikut olahan saya. Asal sila rujuk sini):-

140 g tepung gandum*
200 g buah-buahan campuran (mixed fruits)* (*digaul bersama. Ketepikan)
200 g tepung gandum**
1/2 sudu teh baking soda**
1/2 sudu teh serbuk penaik**
1/4 sudu teh serbuk kulit kayu manis**
1/4 sudu teh serbuk buah pala(**digaul dan ayak)
250 g mentega (satu blok)(suhu bilik)
250 g krim keju (satu blok)(suhu bilik)
150 g cawan gula halus
5 biji telur saiz sederhana
1 1/2 camca teh esen vanilla




Cara membuatnya:-

1. Panaskan oven pada suhu 170°C. Lenser tin berukuran 8 inci dengan mentega dan alas dasarnya dengan kertas minyak. Ketepikan.

2. Satukan tepung gandum dan buah-buahan campuran. Gaul rata. Ketepikan.

3. Satukan bahan bertanda **. Ayak. Ketepikan.

4. Dalam mixing bowl, satukan mentega dan krim keju, pukul hingga rata. Masukkan gula dan esen vanila. Pukul hingga putih, masukkan telur satu persatu sambil terus memukul hingga kembang dan gebu.

5. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis dan akhir sekali masukkan buah-buahan yang telah digaul dengan tepung, hingga habis. Gaul rata.

6. Tuang adunan ke dalam tin kek dan ratakan. Bakar 50 - 55 minit. Periksa dengan kaedah mencucuk lidi satu ke bahagian tengah kek dan jika keluar bersih, bermakna kek telah masak.

7. Keluarkan kek dan sejukkan 10 minit sebelum diterbalikkan ke atas jaringan. Sejukkan kek sepenuhnya sebelum dipotong.


Nota:

Jika mengikut resepi asal, CMG letak 50 g kacang walnut & 300 g buah-buahan campuran. Tapi dapur saya tiada bahan tersebut. Jika ada walnut, sila cincang halus. Boleh juga digantikan dengan lobak merah. Dan tambahkan juga dengan ceri merah/hijau.


Tuesday, 21 June 2011

Kuih Lompang @ Kasuwi


Projek petang tadi ~ kuih lompang atau dikenali juga sebagai kuih kasuwi/kasui/kaswi/mortar steamed cake. Resepi ini saya dapat dari Fiza. Cuma saya derhaka sedikit pada bahan-bahannya.

Sedikit kisah tentang kuih lompang (asalnya tidak diketahui):

Kuih lompang merujuk kepada sejenis kuih tradisi yang popular di Malaysia. Ia biasanya berbentuk cawan kecil dengan sedikit lubang / lompang dibahagian tengah. Pada kebiasaannya kuih lompang bewarna-warni. Kuih Lompang merupakan sejenis kuih yang dikukus, dengan itu adalah menyihatkan kerana tidak mempunyai minyak. Kuih Lompang diperbuat dari campuran ramuan tepung beras dan tepung ubi. Boleh didapati dalam warna coklat atau pelbagai warna yang lain. Kuih Lompang merupakan sajian makanan ringan yang dimakan dengan kelapa parut muda yang ditabur diatasnya.

Sumber : Wiki


Saya suka resepi ini kerana bahan-bahannya yang sedikit & rasanya yang kenyal itu. Banyak versi yang saya dapat di internet tapi inilah yang paling mudah. Sesekali bila makan kuih lompang versi ini terasa seperti memakan kuih bakul.





Bahan-bahan:

4 cawan air
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung ubi
2 sudu besar susu tepung
2 cawan gula merah
Sedikit garam
2 sudu besar susu pekat

Kelapa sebagai hiasan

Caranya:

1. Bancuhkan 2 cawan air bersama tepung gandum dan tepung ubi. Kacau sebati.

2. Panaskan 2 cawan gula merah bersama 2 cawan air & sedikit garam. Kacau sampai gula merah hancur.

3. Tapiskan air gula tadi & masukkan ke dalam adunan tepung, sambil dikacau sehingga larut.

4. Masukkan susu pekat, dan kacau lagi.

5. Sementara itu panaskan pengukus.

6. Lengserkan loyang/acuan dengan minyak. Tapiskan sekali lagi adunan ke dalam loyang/acuan. Kukus selama 15-20 minit dengan api yang sederhana.

7. Bila dah masak, sejukkan, potong ikut suka (sekiranya dikukus di dalam loyang) dan gaul bersama kelapa yang telah dicampurkan dengan secubit garam. Boleh juga makan begitu saja.


Monday, 20 June 2011

Kek Coklat Putih


Ini adalah antara resepi yang saya invent sendiri setelah terasa bosan memakan kek coklat (brown chocolate) yang biasa-biasa tu.

Kek Coklat Putih Lembap

1 cawan cip coklat putih (bar masakan dia pun boleh)
1/2 cawan krim (thickened)
1/2 cawan susu cair/segar

Masukkan cip dan krim ke dalam periuk dan panaskan. Biarkan cip sebati. Masukkan susu cair/segar untuk 2 minit. Tutup api. Biarkan sejuk.

250gm mentega
1 cawan gula kastor
4 biji telur sederhana
1 sudu teh esen vanilla/serbuk vanilla
2 1/2 cawan tepung gandum/tepung superfine
2 sudu teh serbuk penaik

1. Pukul mentega dengan gula sampai kembang. Masukkan telur satu persatu. Masukkan vanilla.

2. Masukkan sedikit demi sedikit tepung gandum yang telah diayak bersama serbuk penaik sehingga sebati.

3. Kemudian masukkan sedikit demi sedikit adunan cip coklat putih yang telah sejuk tadi.




4. Masukan dalam loyang dan bakar selama 1 jam (atau hingga masak) pada suhu 180°Celsius menggunakan api bawah. Untuk hasilkan permukaan seperti gambar di atas, 40 minit yang pertama kena api atas bawah, 20 minit yang berikutnya api bawah saja.

5. Masak dengan kaedah steam bake.


Untuk ganache:

250gm cip coklat
125ml krim putar
60gm mentega
1 sudu kecil minyak jagung

Untuk menyediakan ganache, cairkan cip coklat, mentega dan krim putar mengunakan kaedah water bath. Kemudian masukkan sesudu minyak jagung dan gaul sebati. Biarkan semalaman di dalam chiller hingga pekat.

* Resepi ganache ini boleh juga digantikan dengan resepi yang terdapat di resepi Boston Creme Pie dalam entry sebelum ini.

Sunday, 19 June 2011

Boston Creme Pie

Hari ni saja mencuba resepi dari JoyofBaking ni. Resepi yang diberi nama Boston Creme Pie. Comot kan hasil kerja saya ni... hehehe. Well, it's not actually 'pai' but a layered sponge cake.

Some of the reasons why they called this pie, instead of cake is:

There are two questions that immediately come to mind when you hear Boston Cream Pie. One is "Why is it called a pie?", and the other is "Why the name 'Boston'?". To answer the first question of why "pie" instead of "cake", it is probably because colonists baked their cakes in pie tins as they did not own cake pans. As far as calling it Boston Cream Pie, the story began when a New York newspaper in 1855 published a recipe for a 'Pudding Pie Cake'. This recipe was similar to the Boston Cream Pie recipe of today except that it had a powdered sugar topping. From there we go to Boston where a man named Harvey D. Parker opened a restaurant called the Parker House Restaurant. On the menu was a 'Parker House Chocolate Pie', the recipe to which was similar to the New York newspaper recipe except a chocolate glaze had replaced the powdered sugar topping. We are not sure how it was renamed to 'Boston Cream Pie', but Bo Friberg in his book 'The Professional Pastry Chef' thinks "the name stems from the original title (in the New York paper) combined with the reference to Boston.




Ok, biar saya alihbahasakan resepinya:

Krim:

1/4 cawan (50 g) gula kastor/halus
3 kuning telur bersaiz besar
1/8 cawan (20 g) tepung serbaguna
3 sudu besar (20 g) tepung jagung (saya gantikan kepada tepung kastad)
1 1/4 cawan (300 ml) susu segar/susu cair
1 sudu teh vanila

Penyediaan krim:

1. Kisar kesemua bahan di atas dan tuang ke dalam periuk. Kacau tanpa henti di atas api yang perlahan sehingga adunan likat dan kental. Setelah masak, tuangkan adunan ini terus ke dalam piping bag.


Kek:

Bahan (A)

5 biji telur bersaiz besar (saya hanya menggunakan 2 biji telur)
75 g gula halus/kastor
1/2 sudu teh vanila
3 sudu besar susu cair/segar
1/2 cawan (60 g) tepung gandum*
1/4 cawan (35 g) tepung serbaguna*
1 sudu kecil serbuk penaik*
1/4 sudu kecil garam* (ayak yang bertanda * bersama)

Bahan (B) (Meringue)
3 putih telur (dari krim tadi)
75 g gula halus/kastor
1/8 sudu kecil cream of tartar (saya tak menggunakan ini)
2 sudu besar (28 g) mentega tanpa garam (saya gantikan dengan 45 ml minyak)

Cara penyediaan:

1. Bahan A : Pukul telur, gula kastor, vanila dan susu segar sehingga berbuih dan memutih.

2. Masukkan kedua-dua tepung yang telak diayak bersama serbuk penaik & garam tadi sedikit demi sedikit. Ketepikan.

3. Bahan B : Sediakan bekas yang bersih dan kering. Masukkan putih telur di dalam bekas tersebut, pukul sehingga menjadi soft peak. Masukkan gula, pukul lagi sehingga ia berkilat & bertanduk. Dalam keadaan ini, sekiranya ia diterbalikkan ia tidak akan jatuh.


4. Masukkan bahan B ke dalam bahan A sedikit demi sedikit. Saya masukkan separuh dahulu. Kemudian ambil spatula dan kaup balik sahaja. Buat perlahan-lahan sehingga habis dan warna putih bahan B hilang sepenuhnya.

5. Tuangkan minyak perlahan-lahan ke dalam adunan tersebut dan kacau perlahan hingga sebati.

6. Tuang ke dalam loyang yang telah dilapisi dengan kertas bakar. Dalam peringkat ini, anda boleh memilih untuk memasak kek ini sekaligus (kena potong dengan serrated knife kemudian) atau boleh membakar satu persatu. Adunan tidak akan rosak walau pun yang kedua itu dibakar kemudian sedikit. Saya memilih untuk membakar berasingan. Setiap satu adunan dibahagi dua dengan berat lebih kurang 220 g setiap satu.

7. Masukkan ke dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu. Bersuhu 160°C. Selama 30 minit (bakar yang berasingan, sekiranya sebiji sekaligus masa ini kena lebih lama) menggunakan kaedah steam bake (letakkan sedulang air di bawah loyang kek). Boleh juga mengikut cara bakar terus.

8. Bila kek masak, letakkannya di atas jaring untuk menyejukkannya terlebih dahulu.


Salutan coklat (chocolate glaze)(resepi ini sedikit berbeza dari resepi asal di JoyofBaking):

4 ounces (120 g) coklat 'semisweet', cincang
2 sudu besar mentega tanpa garam
1/2 cawan (120 ml) krim putar
1/2 cawan gula aising
1/2 sudu teh vanila

1. Cairkan coklat dan mentega di dalam periuk menggunakan kaedah double boiler.

2. Tutup api dan tuangkan krim putar perlahan-lahan sambil coklat dikacau tanpa henti. Bila adunan telah menjadi licin, masukkan gula aising sedikit demi sedikit. Masukkan juga esen vanila. Kemudian pukul ke semuanya hingga sebati.

3. Sedia digunakan apabila sudah sejuk.


Cara susunan:

1. Letakkan kek di bahagian bawah.

2. Ambil adunan krim di dalam piping bag tadi. Gunting sebesar 1 cm di muncungnya. Picitkan adunan ke atas lapisan kek tersebut.

3. Letakkan lapisan kek yang kedua di atasnya.

4. Tuangkan glaze coklat tadi mengikut citarasa anda.


Nota:

1. Seeloknya biarkan kek dalam tempoh 30 minit sebelum dihidangkan.

2. Kek ini juga sesuai dimakan sejuk.

3. Saya sangat sukakan glaze ini sebab ia sangat licin dan tidak mudah keras.




Thanks to my superb husband who cooked fried rice today too! Te quiero mucho!

Saturday, 18 June 2011

Karipap Sardin Berkentang

Pagi Sabtu ni suami saya cuti. Mulanya dia nak keluar beli makanan, tapi saya ajak dia buat karipap. Dah lama nak buat projek ni sebab dah lama tak buat. Lagi pun saya nak cubalah buat ikut resepi lain dari yang biasa-biasa saya buat. Saya buat doh, suami saya masakkan intinya. Intinya inti sardin.

Kali ni saya gunakan resepi doh di MyResepi.com.

Bahan-bahan untuk Doh Karipap (50 biji):

250 ml air
½ cawan ais
½ sd besar garam
500 g tepung gandum - diayak
1 biji telur
94 g lepa susu (karipap jadi rangup) @ marjerin
Minyak untuk menggoreng & Secukup tepung untuk mencanai
Cara-cara

Cara membuat doh:

1. Campurkan air bersama garam dan ais, kacau hingga garam larut. Ketepikan.

2. Masukkan tepung dalam mangkuk. Gaul tepung dgn telur hingga jadi serbuk roti.

3. Panaskan lepa susu / marjerin / campuran sepertinya atas api kecil hingga bebuih dan tuang rata2 atas tepung tadi.

4. Gaul lagi hingga jadi serbuk roti - gunakan hujung jari. Masukkan sedikit sedikit air ais bergaram dan gaul hingga jadi doh. Hentikan penambahan air bila dah jadi doh. Rehatkan 1 jam (boleh gunakan masa ini untuk masak inti).

5. Bahagikan doh 2 bahagian (setiap bahagian menghasilkan ±25 keping karipap). Ambil 1 bahagian dan canai nipis atas landasan bertepung. Gulung ketat-ketat dan golek hingga jadi silinder.

6. Potong gulungan silinder tadi hingga mendapat +- 20 ke 25 ketul. Canai nipis (2mm) setiap satu ketul dan isikan mengikut kesesuaian acuan karipap anda. Tutup dan picit untuk menutupkannya, kelim kemas-kemas untuk mengelakkan bocor sewaktu menggoreng.


8. Ulangi proses mencanai nipis setiap ketul hingga habis.

9. Goreng terendam atas api perlahan - sederhana hingga kuning keemasan. Tos atas kertas dapur dan hidangkan.

* Boleh juga digunakan crisco, minyak sapi, mentega atau keduanya (nisbah 1/2:1/2). Kalau malas nak canai semua doh, boleh dibalut doh dengan plastik dan simpan dalam bahagian atas. Untuk menggunakannya, keluarkan dan biarkan ia pada suhu bilik. Karipap belum digoreng boleh disimpan lama dengan menyusunnya atas dulang terlebih dahulu dan letak dalam fridge hingga beku (1-2 jam). Kemudian ambil setiap satu dan balut plastik agar tak melekat, baru boleh simpan dalam bekas plastik dan letak dalam fridge semula.






Bahan-bahan untuk inti:

3 biji bawang besar - potong dadu
1 inci halia - diketuk
3 biji bawang putih - dihiris nipis
1 tin sardin/mackerel - saiz sederhana
3 biji kentang saiz sederhana - potong dadu
1 cawan air
1 keping asam keping
2-3 biji cili padi - dipotong halus
1-2 sudu besar cili kisar
Gula & garam secukup rasa

1. Tumis bawang, halia dan bawang putih hingga naik bau.

2. Masukkan sardin & kentang. Hancurkan sardin. Masak hingga lembut.

3. Masukkan air, asam keping, cili padi, cili kisar, garam dan gula secukup rasa. Masak hingga betul-betul kering sambil dibalik-balikkan. Jangan biar sampai hangit.

4. Setelah benar-benar masak & kering, tutup api & toskan untuk buang minyak.

5. Biar sejuk sebelum guna.




Thursday, 16 June 2011

Kari Hijau Ikan Tongkol


Tahukah anda dari mana asalnya kari hijau? Ya.. ia berasal daripada Thailand.

Dari Wiki:

Kari masakan Thailand menggunakan daging, ikan, atau sayur-sayuran yang dimasak di dalam sos berempah yang diperbuat daripada cili, daun limau purut, serai, lengkuas, dan santan. Oleh itu, ia cenderung berbau lebih harum, berbanding dengan kari India.

Kari-kari Thailand seringnya dihuraikan mengikut warna, iaitu:

  • Kari Merah untuk kari yang menggunakan cili merah;

  • Kari Hijau yang menggunakan cili hijau;

  • Kari Kuning yang mirip dengan kari India dan yang menggunakan kunyit dan jintan putih.


  • Kari Kuning yang biasanya mengandungi ubi kentang juga dikenali sebagai kari gaeng (ejaannya berbeza-beza). Terjemahan harfiah untuk kari gaeng ialah "kari kari" kerana ia adalah satu-satunya kari Thailand yang benar-benar merupakan kari dan disesuaikan daripada masakan India.


    Kari hijau ini sedap rasanya. Lemak tapi tidak muak. Mungkin kerana rasa rempah & aroma daun limau purutnya itu yang telah mesra dengan kuah dan isi ikannya. Resepi ini diambil dari buku Belajar Memasak 2 keluaran Alaf 21 oleh Chef Norzailina Nordin.



    Kari Hijau Ikan Tongkol

    Bahan-bahan:

    80 ml minyak masak
    900 gm ikan kayu/tongkol/aya
    700 ml santan
    Jus dari sebiji limau nipis
    2 sudu teh ketumbar*
    1 sudu teh jintan manis*
    1 sudu teh lada putih - ditumbuk
    2-3 keping daun limau purut
    Garam & gula secukup rasa

    *Bahan-bahan ini disangai dan ditumbuk halus.

    Bahan kisar:
    5 biji cili hijau
    5-6 biji cili api
    1 biji bawang besar
    2 ulas bawang putih
    1 sm halia
    1 sm kunyit
    sedikit air


    Cara buat:

    1- Panaskan minyak & tumis bahan kisar hingga naik bau.

    2- Masukkan ketumbar, jintan manis & lada putih. Kacau hingga keluar minyak.

    3- Tuangkan santan dan kacau sekali-sekala di atas api sederhana hingga mendidih.

    4- Tambah garam & gula secukup rasa.

    5- Masukkan pula daun limau purut yang dibuang batangnya.

    6- Masukkan ikan, kacau hingga mendidih dan ikan masak. Masukkan jus limau. Kacau rata dan angkat.

    *Ikan tongkol/kayu/aya boleh ditukar ke daging/ayam atau ikan lain yang dirasakan bersesuaian.


    Wednesday, 15 June 2011

    Udang Goreng Mentega


    Dulu-dulu kami sangat suka makan di Kelana Seafood Center (KSC), Kelana Jaya. Kemudian KSC ini membuka cawangannya di tempat tinggal kami. Harga makanannya jauh lebih murah di cawangan berbanding dengan di Kelana Jaya. Antara makanan kegemaran saya ialah udang goreng mentega dan cekodok udang ubi keledek (bukan cekodok yang kecil-kecil tu, ini dimakan bersama dengan nasi).

    Saya mengenali chef utama di cawangan yang saya kenali sebagai Chef Khairy. Sering makan tengahari semeja dengannya. Malah dia pernah mengajar memasak udang goreng mentega & cekodok udang ubi keledek itu semasa kami tengah makan! Aduh.. mana la saya boleh ingat. Yang saya boleh lakukan hanya membayangkan rasa sedap kedua-dua makanan tersebut (kakak saya memberi petua ~ untuk memasak, kita terlebih dahulu kena peka dengan bahan yang dimasukkan ke dalam satu-satu masakan).

    Sayangnya KSC kini hanya tinggal nama. Akhbar The Star melaporkan bahawa KSC telah dengan rasminya ditutup pada 30 April 2008. Sebelum ia ditutup, cawangannya di SU terlebih dahulu diarahkan agar ditutup. Untuk menghilangkan rasa rindu udang goreng mentega KSC, saya cuba untuk mengingatkan kembali pada apa yang diajar oleh Chef Khairy.


    Kelab di mana terletaknya cawangan KSC di tempat kami.


    Antara petua dia yang saya masih ingat, semasa memutar telur di dalam minyak tu perlu diputar laju-laju tanpa henti dan kena pandai kawal api. Yang lain, saya hanya menggunakan ingatan deria rasa saya. Tapi sudah tentulah rupanya tidak akan sama. Untuk menghasilkan telur goreng yang bertali itu sudah tentulah peralatan dapurnya kena sesuai. Terutamanya kuali untuk menggoreng itu. Kualinya perlulah seperti kuali di restoran besar yang mana ia perlulah besar & minyak yang digunakan perlu banyak.



    Bahan-bahan:
    2 biji kuning telur - dipukul
    5 ekor udang besar (XL)
    3 biji cili api - dipotong kecil
    2 tangkai daun kari
    susu cair/buttermilk - nak banyak pun ok
    sedikit garam
    sedikit gula
    mentega/marjerin (jika marjerin, saya gunakan jenama Daisy)
    minyak

    1. Masukkan sedikit minyak (dalam 2 sudu besar) dan mentega/marjerin (dalam 3 sudu besar) dalam kuali. Jangan letak mentega saja nanti cepat hangit. Pastikan minyak betul-betul panas. Apabila sudah panas, turunkan telur perlahan-lahan sambil sebelah tangan lagi memutarkan telur itu tanpa henti (putar macam mamak bancuh air kat kedai tu, non stop high speed). Masak sehingga telur bertukar warna kecoklatan. Angkat dan toskan. Biar sejuk.

    2. Goreng udang besar sampai masak & angkat.


    3. Tumiskan cili api dalam minyak & butter yang dipanaskan terlebih dahulu. Masukkan daun kari (buang batangnya). Biar sampai layu sedikit. Masukkan sedikit susu cair, garam & gula. Masukkan udang. Kacau selama beberapa minit. Angkat.

    4. Gaulkan udang dengan telur yang telah digoreng tadi.

    5. Sedia untuk dimakan. Nah! Tak perlu lagi beli di luar. Saya memang dah buat ni berkali-kali. Jadi menu kegemaran keluarga pula lagi.

    Tips:

    1. Sebelum menurunkan telur, pastikan minyak panas terlebih dahulu.

    2. Semasa menurunkan telur, kacau telur itu dalam satu arah sahaja. Jika mengikut arah jam, ikut arah itu saja sehingga selesai. Jangan putar & berhenti. Perlu putar tanpa henti sehingga telur benar-benar masak (bertukar kecoklatan). Ia akan berbuih.



    Tuesday, 14 June 2011

    Mee Sanggul Goreng

    Hari ni masak mee sanggul je la. Anak saya memang tak banyak ragamnya. Paling kuat makan pun budak berdua tu. Yang dua lagi tak makan mee. Malah Syafiah jenis tak makan nasi. Dia lebih gemarkan roti.

    Mee sanggul ni sangat popular di negeri-negeri sebelah utara. Dulu agak sukar untuk mendapat produk tempatan sebab kebanyakannya datang dari Siam. Kini saya telah temui produk Muslim & tempatan keluaran Silaturrahim Enterprise. Jenama Azman. Satu peket berharga RM2.80. Saya membelinya di Stesen Petronas, Bandar Bharu.

    Resepi Mee Sanggul Goreng

    Bahan-Bahannya:-

    250 g mee sanggul - celur terlebih dahulu
    400 g udang, dibersihkan (saiz ikut suka, saya guna yang kecil saja)
    2 batang kek ikan
    3 biji telur
    3 ulas bawang putih, cincang halus
    2 sudu besar cili kisar
    1 cekak sawi, cuci bersih dan kerat-kerat
    Sedikit taugeh
    Sedikit daun bawang/daun sup, dipotong-potong
    Bawang goreng/hirisan cili merah, jika suka

    Bahan Sos:-
    2 sudu besar sos tiram
    2 sudu besar sos tomato
    2 sudu besar sos cili
    2 sudu besar kicap manis
    2 sudu besar sos plum
    2 sudu besar kicap mee
    3 - 4 sudu besar kicap cair



    Cara membuatnya:-

    1. Dalam kuali panaskan minyak dan goreng telur, hancur-hancurkan dan tolak ke tepi. Masukkan udang & kek ikan*, goreng sekejap dan tolak ke tepi kuali.

    2. Tuang sedikit lagi minyak, tumis bawang putih hingga wangi, masukkan cili dan goreng hingga garing, masukkan bahan-bahan sos dan gaul hingga rata bersama kesemua bahan yg ditolak ke tepi kuali tadi.

    3. Masukkan mee sanggul dan gaul hingga rata. Masukkan sawi dan taugeh tadi, gaul hingga mesra. Rasa garamnya, jika kurang boleh ditambah lagi kicap cair. Bila masak, angkat dan taburkan bawang goreng, hirisan cili merah dan hirisan daun bawang/daun sup. Hidangkan bersama cili jeruk, hirisan timun dan tomato.

    *Boleh juga dimasukkan isi ayam, kerang mahupun daging. Bahan utama dalam resepi ini boleh juga digantikan dengan mee kuning, spaghetti atau pun koay teow.




    Selamat mencuba!

    Monday, 13 June 2011

    Spaghetti Bolognese



    Ini memang antara menu pasti keluarga kami. Selalu sangat buat. Spaghetti tu biasalah. Kuahnya adalah rekaan saya sendiri, tak pakai Preggo & seangkatan dengannya.

    Bahan-bahan:

    Setengah paket spaghetti (kadang saya pakai makaroni juga) - rebus ikut arahan di paket

    Sedikit minyak untuk menumis
    4 biji bawang putih - dicincang halus
    3-4 tangkai cili kering - dihiris nipis
    Setengah tiub daging/ayam cincang
    1 tin kecil puri tomato (jika guna tomato segar, jadikan puri dari 3 biji tomato bersaiz sederhana)
    2 sudu besar cili kisar (jika suka pedas, letak lebih sikit)
    1 cawan air
    1 sudu kecil lada hitam/sulah
    1 sudu kecil serbuk oregano
    1 sudu kecil oregano kasar (flakes)
    Gula & garam secukup rasa

    Cara buat kuah:

    1. Tumis bawang putih & hirisan cili kering hingga keperangan dan naik bau.

    2. Masukkan daging cincang. Tumis hingga agak garing.

    3. Masukkan puri tomato & cili kisar. Tambahkan air. Biarkan masak hingga pecah minyak.

    4. Tambahkan lada, serbuk oregano, oregano kasar, gula dan garam. Masak lagi sehingga kering sedikit.

    5. Tutup api. Sedia untuk dihidangkan bersama daun parsli & serbuk keju parmesan (sekiranya ada).

    Nota:

    Boleh ditambah dengan bahan kegemaran masing-masing ~ cendawan, lada benggala, dll.


    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...